Saturday, August 18, 2012

Menjelma Syawal berundur Ramadan... Syahdu gema takbir menyelusuri alam... Indahnya Idil Fitri.... Selamat Hari Raya minal idil wal faizin Maaf Zahir Batin

Wednesday, February 8, 2012

Wadah Siswa

Assalamualaikum wbr. dan Salam 1Malaysia.

Jumaat -Ahad minggu lepas, saya telah menghadiri Kursus Kreatif Pelajar Aktif. Setiap negeri diwakili oleh seorang guru. Pemilihan guru dibuat oleh penganjur. Dalam kursus itu, semua guru dilantik sebagai fasilatator. Tugas fasilitator ialah mengelolakan kursus berkenaan di setiap negeri dan sekolah. Bahan utama kursus ialah majalah Wadah Siswa yang akan dieksploitasi bagi mencetus proses pembelajaran dan pengajaran yang seronok, kreatif dan berkesan.

Kita sama-sama nantikan kemunculan majalah Wadah Siswa dalam pasaran!

Sunday, November 6, 2011

Binaan Ayat Bahasa Tulisan

Dalam soalan 3a, calon SPM akan diminta membina ayat. Untuk itu, calon hendaklah membina ayat yang gramatis. Namun kadang kala calon terbawa-bawa ayat dalam bahasa kolokial dalam menyiapkan ayat masing-masing.

Perhatikan dua ayat di bawah:

1. Hashim memberitahu bahawa dia tak tahu susuk tubuh pencuri itu.

Ayat 1 di atas merupakan ayat dalam bahasa kolokial dan tentunya tidak gramatis sebagai ayat bahasa tulisan. Ayat 1 di atas hendaklah ditulis seperti 1a :

1a. Hashim memberitahu bahawa dia tidak mengetahui susuk tubuh pencuri itu.

Ayat 1 itu menggunakan bahasa tidak baku, iaitu pada ungkapan " tak tahu ". Oleh itu, ungkapan yang baku ialah " tidak mengetahui ".

Contoh lain pula seperti berikut:

2. Saya pergi membeli-belah.

Ayat 2 juga ayat dalam bahasa kolokial dan selalu dituturkan dalam bahasa lisan. Bagaimanapun, dalam bahasa tulisan, ayat 2 tidak boleh digunakan. Ayat 2 hendaklah dituliskan dalam bentuk bahasa tulisan seperti ayat 2a berikut:

2a. Ke Alamanda saya pergi membeli-belah pakaian.

Ayat 2a itu mempunyai unsur sendi nama dan objek. Unsur sendi nama di atas penting kerana ungkapan "saya pergi" merupakan ayat dalam bentuk pasif persona pertama. Unsur objek pula penting kerana ayat itu mempunyai kata kerja transitif, iaitu "membeli-belah". Berbanding ayat 2 ialah ayat yang tidak lengkap sebagai bahasa tulisan.

Semoga penjelasan ini dapat membantu calon SPM menghadapi soalan 3a Kertas 2 Bahasa Melayu SPM 2012.

Tuesday, November 1, 2011

Latihan Peribahasa SPM

Berikan peribahasa yang tepat dengan maksud setiap ayat berikut.

1. Kehadiran Muthu di kampung itu amat dibimbangi jiran tetangganya kerana dia selalu mengambil barang-barang jiran-jirannya tanpa meminta izin terlebih dahulu.

2. Aminah mempunyai perangai yang tidak digemari oleh rakan-rakannya kerana sikapnya yang suka mengambil barang-barang yang telah diberikannya semula.

3. Keputusannya untuk berhijrah ke Australia tidak dapat diubah lagi walaupun telah dihalang oleh kedua-dua ibu bapanya berkali-kali.

4. Semua ikan yang dipelihara oleh penternak telah terlepas akibat banjir yang melanda kampung itu bulan lalu.

5. Safee Sali ialah seorang penyerang yang disandarkan harapan tinggi oleh pengurus dan peminat untuk menjaringkan gol.

Insya-Allah jawapan akan muncul pada hari Rabu.
Sekian dan terima kasih. Selamat Maju Jaya!

Jawapan:
1. cepat tangan
2. buruk siku
3. bulat hati
4. putih mata
5. ayam tambatan

Latihan Tatabahasa SPM

Cari satu kesalahan ejaan dan satu kesalahan imbuhan.

1. Yang DiPertua Majlis Perbandaran telah memesan kepada kaki tangannya supaya bekerja bersungguh-sungguh.

2. Kerajaan telah melengkapi stesen bas itu dengan pelbagai pasarana untuk golongan OKU.

3. Para belia yang tidak berjaya menyambung pelajaran ke universiti telah disarankan agar mengikut kursus kemahiran di instituisi kemahiran yang ada.

4. Matan Perdana Menteri telah menyeru para belia agar lebih proaktif untuk bangunkan negara.

5. Pengguna jalan raya untuk ke gua Musang telah dinasihatkan oleh pihak berkuasa agar lebih berhati-hati kerana jalan raya tersebut mempunyai beberapa kawasan merbahaya.

6. Permohon untuk jawatan kosong di syarikat itu boleh dihantar menerusi mesin fax sahaja.

7. Pada awalnya, gagasan 1Malaysia telah memberikan pelbagai definasi oleh pihak-pihak tertentu sehingga wujud kekeliruan.

8. Semua calon SPM dijangka akan terima keputusan masing-masing pada bulan Febuari.

9. Hajjah Saorah telah ternobat sebagai Ibu Mithali negeri Melaka pada tahun 2011 atas kejayaan beliau mendidik anak-anaknya menjadi orang berjaya.

10. Semua kenderaan yang berusia sepuluh tahun atau lebih telah dipaksa membayar insuran yang lebih mahal.

Insya-Allah jawapan akan muncul pada hari Rabu.

Sekian dan terima kasih. Selamat Maju Jaya!

Jawapan:
1. Yang DiPertua = Yang Dipertua
memesan = berpesan
2. pasarana = prasarana
melengkapi = melengkapkan
3. instituisi = institut
mengikut = mengikuti
4. Matan = Mantan
bangunkan = membangunkan
5. gua Musang = Gua Musang
merbahaya = berbahaya
6. fax = faks
Permohon = Permohanan
7. definasi = definisi
memberikan = diberikan
8. Febuari = Februari
terima = menerima
9. Hajjah = Hajah
ternobat = dinobatkan
10. insuran = insurans
dipaksa = terpaksa

Monday, October 31, 2011

Latihan Tatabahasa SPM

Cari satu kesalahan kata atau istilah dan satu kesalahan bahasa dalam ayat di bawah.

1. Pelbagai rekaan murid sekolah yang berasaskan daya ubah suai dipamerkan pada pameran itu.

2. Yang Dipertua Bank Negara Malaysia telah dianugerahi bintang kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri.

3. Antara langkah-langkah yang diambil untuk mengatasi banjir mendadak di kawasan perumahan itu telah dilakukan dengan usaha mendalamkan sungai dan parit.

4. Projek jalan raya besar yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Semenanjung Malaysia sedang rancak dilaksanakan oleh pihak kontraktor.

5. Berapa anggaran harga bagi setiap kereta tangan kedua yang dijual di kedai itu?

Insya-Allah, jawapan untuk soalan di atas akan dikeluarkan pada 02 November 2011 bersamaan hari Rabu.

Sekian. Selamat Maju Jaya!

Jawapan:
1. daya ubah suai = inovasi
pada = di
2. Yang Dipertua Bank Negara= Gabenor
dianugerahi= dianugerahkan
3. Antara langkah-langkah= Antara langkah
banjir mendadak=banjir kilat
4. jalan raya besar= lebuh raya
dan = dengan
5. Berapa= Berapakah
kereta tangan kedua = kereta terpakai

Tuesday, October 18, 2011

Majlis Konvokesyen Ph.D




Assalamualaikum wbr.
Majlis Konvokesyen untuk graduan Ph.D Universiti Malaya telah diadakan pada 03 Oktober 2011. Di sini dilampirkan dua keping foto. Bagaimanapun, foto ini bukan untuk menunjuk-nunjuk tetapi sekadar berkongsi kegembiraan dan untuk menzahirkan ucapan terima kasih atas segala sokongan ibu, isteri, pensyarah, anak-anak, anak-anak buah, adik-beradik dan kawan-kawan.

Syukur kepada Allah S.W.T. atas kurniaan-Nya!
Terima kasih kepada semua yang ikhlas menyokong!