Assalamualaikum w.b.r.
Setiap komunikasi mempunyai peristiwa bahasanya yang tersendiri. Peristiwa bahasa itu kadang kala tidak difahami oleh seseorang sehingga ada yang mengatakan bahawa peristiwa bahasa itu tidak perlu atau mahu ditinggalkan. Sebaliknya, sekira difahami peristiwa bahasa itu dibentuk oleh peraturan, nilai, budaya dan persefahaman. Oleh itu, peristiwa bahasa yang melatari komunikasi itu akan menimbulkan kelainan antara satu peristiwa bahasa dan memperlihatkan suatu kesopanan.
Misalnya, dalam melakukan solat terdapatnya suatu bentuk peristiwa bahasa yang dibentuk oleh peraturan sama ada ditentukan oleh Allah S.W.T. atau Nabi Muhammad S.A.W. Ibadat solat itu merupakan suatu komunikasi kita dengan Allah S.W.T. mesti mengikuti peristiwa bahasa seperti takbir,ruku', sujud dan sebagainya. Sekira peristiwa bahasa dalam solat ini sengaja dilanggar, bukan sahaja solat (komunikasi) itu gagal (batal) tetapi memperlihatkan suatu sikap tidak sopan pula.
Begitu juga halnya dengan peristiwa bahasa menyambut kedatangan pemimpin, terdapatnya pelbagai acara dilakukan oleh masyarakat seperti iringan bunga manggar, paluan kompang dan lain-lain. Semua ini dibentuk oleh persefahaman,nilai, adat dan budaya yang menjadikan komunikasi dalam peristiwa bahasa itu berkesan. Sekira kedatangan pemimpin disambut tanpa acara dan kelihatan hambar, komunikasi itu akan janggal, gagal dan memberikan suatu tanggapan negatif.
Misalan lain seperti perhimpunan rasmi di sekolah pada setiap hari Isnin. Sekira perhimpunan itu tidak dimulakan dengan bacaan doa dan nyanyian lagu kebangsaan dan lagu kebesaran negeri, tentu sahaja komunikasi melanggari adap dan sopan sebuah peristiwa bahasa perhimpunan rasmi. Mungkin akan menimbulkan rasa tidak selesa bagi sesetengah individu yang berada dalam perhimpunan rasmi itu.
Contoh yang diberikan ini sebenarnya boleh dilihat dalam semua peristiwa bahasa yang menjadi latar dan memberikan pengaruh bagi setiap komunikasi.
Justeru dalam kita menidakkan kewujudan peristiwa bahasa bagi sesuatu komunikasi hendaklah kita lebih berhati-hati supaya kita tidak dikatakan tidak tahu adat dan turut menggagalkan komunikasi yang direncana. Oleh hal demikian, nenek moyang kita memahamkan kita dengan peristiwa bahasa apabila moyang kita mengatakan bahawa masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu menguak. Di sini tingginya falsafah peribahasa tersebut dalam menterjemahkan ilmu komunikasi. Dengan ini, memahami peristiwa bahasa bagi sesuatu komunikasi amat penting dalam meningkatkan kemampuan kita berkomunikasi dengan persis dan berkesan.
Sekian dan terima kasih.
No comments:
Post a Comment