Monday, October 13, 2008

MALAM DAN SIANG: APAKAH DISEBALIKNYA?
[MOHD AZAM BIN AHMAD]

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal”
(Ali Imran:190). Ayat ini mencabar manusia, iaitu mencabar manusia agar menggunakan akal fikiran secara kritis dan analitik. Cabaran Allah s.w.t. ini sememangnya layak untuk manusia kerana manusia telah dianugerahi akal dan dengan nikmat akal itu juga telah meletakkan manusia pada taraf dan darjat yang tinggi berbanding makhluk-makhluk lain.
Sesungguhnya berasaskan penciptaan langit dan bumi serta kejadian malam dan siang, manusia yang berakal akan segera mengakui keagungan dan kekuasaan Allah S.W.T. Apa tidaknya? Manusia yang menguasai pelbagai ilmu sains dan teknologi tetap tidak mampu mencipta langit dan bumi atau menukar giliran waktu malam dan siang. Namun begitu, ayat 190 surah Ali Imran ini bukan hanya mengajak manusia sekadar berfikir dengan mengakui keagungan dan kekuasaan Allah s.w.t. kerana ketidakmampuan manusia mencipta langit dan bumi atau menukar giliran waktu malam dan siang itu tetapi ayat 190 surah Ali Imran secara tegas mencabar manusia agar menggunakan akal yang dianugerahi itu secara kritis dan analitik untuk memahami lebih daripada yang telah ditemui itu.
Dalam ayat 190 surah Ali Imran itu, Allah s.w.t. telah menggunakan unsur malam dan siang untuk mencabar akal fikiran manusia. Siang dan malam ini dapat dikaitkan dengan penciptaan bulan dan matahari. Apabila diteliti dan dianalisis silih bergantinya bulan dan matahari, didapati matahari akan memancarkan cahayanya yang terang-benderang hanya pada waktu siang hari dan bulan pula akan menyinarkan cahayanya yang redup pada malam hari. Inilah peranan yang dilaksanakan oleh bulan dan matahari. Peranan yang dilaksanakan ini telah dipikul dengan bersungguh-sungguh dan penuh disiplin. Hal ini kerana bulan atau matahari tidak pernah cuba menukar giliran atau engkar memancarkan cahaya pada waktunya. Sebaliknya, jika peranan tidak dilaksanakan dan disiplin tidak dipegang teguh oleh bulan dan matahari, tentu sahaja akan menyebabkan kehidupan di dunia ini kucar kacir atau bercelaru. Misalnya, jika matahari tiba-tiba terbit pada malam hari, tentu sahaja akan mengganggu waktu rehat atau tidur manusia. Begitu juga, jika bulan tiba-tiba menyinari pada waktu siang dengan matahari pula enggan memancarkan cahayanya pada waktu siang yang ketika itu manusia sedang sibuk bekerja, tentu sahaja manusia akan menghadapi pelbagai masalah untuk menyelesaikan urusan masing-masing. Oleh demikian, Allah s.w.t. telah mengambil malam dan siang ini bagi menunjukkan contoh berkaitan peranan dan disiplin pada bulan dan matahari. Dengan sikap bulan dan matahari memainkan peranan masing-masing dengan betul dan tepat pada waktunya dan berpegang teguh dengan disiplin, kehidupan di dunia berjalan dengan lancar sama ada dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan agama.
Berdasarkan analisis terhadap peranan dan disiplin bulan dan matahari ini, jelas menunjukkan bahawa setiap manusia mesti memainkan atau melaksanakan peranan masing-masing dengan betul dan sesuai dengan waktunya. Dalam melaksanakan peranan itu, manusia mesti melaksanakan dengan bersungguh-sunguh. Di samping itu, manusia mesti berpegang teguh pada nilai-nilai disiplin atau nilai-nilai akhlak yang mulia. Menerusi sikap yang demikian, manusia dapat menjalani kehidupan di dunia ini dengan penuh kejayaan dan dapat menghindari pelbagai kecelaruan.
Hal yang dibincangkan ini dapat dilihat dalam beberapa misalan. Contohnya, seorang pelajar sekolah mesti memainkan peranan sebagai seorang pelajar sekolah, iaitu membaca buku, belajar, mendengar pegajaran guru, mengulang kaji dan sebagainya. Seseorang pelajar sekolah juga hendaklah berpegang teguh pada disiplin yang ditetapkan oleh agama, pihak sekolah dan ibu bapa. Sebaliknya, jika pelajar sekolah melaksanakan peranan sebagai seorang dewasa seperti ingin berpasangan, bergaya dengan telefon bimbit yang mahal, bergaya dengan fesyen dan lain-lain, jelas menunjukkan peranan tersebut bertentangan dengan waktu dan disiplin. Akhirnya, murid akan leka berpasangan dan berpoya-poya yang menyebabkan berlakunya kegagalan dan kecelaruan dalam kehidupan pelajar sekolah tersebut seperti gagal dalam pelajaran, mengandung atau melahirkan anak sebelum waktunya dan lain-lain. Hal ini yang disebutkan oleh pepatah Melayu, iaitu “bukan salah ibu mengandung”. Sebaliknya, hal tersebut kerana salah diri sendiri yang telah memainkan peranan yang salah dan tidak mengamalkan nilai disiplin. Namun begitu, adakalanya seorang pelajar terpaksa melaksanakan peranan sebagai seorang dewasa, iaitu apabila ayah mereka meninggal dunia. Dalam hal ini, peranan pelajar itu tetap terhad pada membantu keluarga seperti mencari nafkah sahaja di samping belajar. Peranan ini sebenarnya betul pada waktunya untuk pelajar tersebut dan dengan berpegang teguh pada disiplin, pelajar tersebut juga boleh berjaya. Sebaliknya, jika pelajar tersebut tidak mahu melaksanakan peranan membantu keluarga, tentu sahaja keluarga tersebut akan kucar-kacir dan boleh mengancam keluarga dan pelajar tersebut.
Sehubungan dengan ini, dapat diteliti juga peranan dan disiplin seorang ayah. Jika seorang ayah memainkan peranan dengan betul seperti mencari nafkah untuk keluarga, membimbing anak-anak dan mengamalkan disiplin seperti mendirikan solat, membaca buku ilmu pengetahuan, mengaji dan lain-lain, keluarga yang dibina akan bahagia dan berjaya serta tidak berpecah-belah. Sebaliknya, jika seseorang ayah itu tidak melaksanakan peranan sebagai seorang ayah dan tidak berpegang teguh pada disiplin seperti tidak mahu bertanggung jawab, tidak mahu bekerja keras mencari nafkah dan lebih suka berpoya-poya, keluarga mereka akan menghadapi pelbagai masalah seperti keretakan rumah tangga dan pelbagai kecelaruan.
Tuntasnya, setiap manusia mempunyai peranan masing-masing sama ada seseorang itu seorang pemimpin, pendidik, doktor, jurutera, bapa, suami, isteri, buruh am, anak dan sebagainya. Peranan yang ada pada setiap individu itu mesti dilaksanakan dengan betul pada waktunya. Sebaliknya, tidak melaksanakan peranan yang betul dan tepat pada waktunya atau melaksanakan peranan lain hanya akan mengundang kecelaruan. Di samping peranan, seseorang itu mesti berpegang teguh pada nilai-nilai disiplin atau nilai-nilai akhlak yang mulia dalam mengharungi kehidupan di dunia ini. Menerusi disiplin yang tinggi, seseorang itu juga akan menghayati amanah dan tanggung jawab dalam melaksanakan peranan masing-masing. Pengabaian nilai-nilai disiplin akan menyebabkan seseorang itu lari daripada peranan masing-masing yang mengundang timbulnya pelbagai masalah. Justeru wajar sekali manusia menggunakan akal bagi meneliti secara analitik dan kritis tentang silih bergantinya malam dan siang itu. Keteraturan siang dan malam sehingga memberikan manfaat pada kehidupan di dunia ini adalah kerana peranan yang dilaksanakan dengan betul dan disiplin yang diamalkan oleh bulan dan matahari. Waallahualam......

No comments: