Tuesday, August 11, 2009

Patutkah KOMSAS Untuk Murid Sains?

Assalamualaikum.
Isu yang sering dihadapi guru-guru, khususnya guru bahasa Melayu ialah murid-murid aliran Sains, Kejuruteraan dan Perakaunan (bukan semua) tidak berminat memperlajari KOMSAS. Mereka beranggapan KOMSAS atau sastera itu bukan penting dan tidak perlu untuk mereka pelajari. Tanggapan demikian adalah salah dan perlu diperbetulkan.
Memang selama ini khalayak melihat sastera hanya menampilkan tema cinta atau kisah si miskin. Inilah yang banyak ditemui dalam karya sastera dan menjadi streotaip. Sebaliknya, jika semua murid diajarkan dengan KOMSAS atau sastera, suatu hari nanti senario yang selama ini menjadi persepsi khalayak ramai boleh berubah. Nanti, sastera bukan lagi kisah cinta atau kisah si miskin tetapi sastera akan mengandungi peristiwa atau konflik dalam perbankan, perundangan, ekonomi dan lain-lain. Sekira ini dikehendaki, sudah pasti KOMSAS atau sastera mesti dipelajari oleh semua murid dan meliputi pelbagai aliran dan disiplin ilmu. Oleh itu, Kementerian Pelajaran memperkenalkan KOMSAS menerusi mata pelajaran Bahasa Melayu suatu tindakan yang betul. Cara ini mampu mengubah senario perkembangan karya sastera kita.
Masyarakat juga sering bercakap tentang kemajuan. Kemajuan itu memerlukan ilmu pengetahuan. Sebaliknya, masyarakat hari ini hanya mempunyai ilmu pengetahuan dalam satu-satu bidang atau disiplin ilmu. Ini tidak mampu melonjakkan masyarakat menjadi maju. Sekira diteliti bangsa dahulu yang maju, masyarakatnya menguasai pelbagai disiplin ilmu pengetahuan. Misalnya, Ibnu Sina bukan sahaja ahli perubatan tetapi juga pakar bahasa, pakar agama, ahli muzik dan ahli falsafah. Begitu juga ikon-ikon cendekiawan lain yang menguasai pelbagai disiplin ilmu. Sebaliknya, masyarakat hari ini hanya pandai dan menguasai satu bidang ilmu sahaja. Ilmu yang lain tidak dapat diterokai. Penguasaan ilmu lain selain daripada bidang ilmu yang dipelajari mempunyai dinding pemisah. Ini menghalang penguasaan pelbagai displin ilmu dalam kalangan masyarakat.
Justeru dengan memperlajari sastera oleh semua murid daripada pelbagai disiplin ilmu, akan lahir nanti penggarapan tema, persoalan, peristiwa dan lain-lain berdasarkan disiplin ilmu masing-masing. Oleh hal demikian, bukan sahaja melahirkan dimensi yang berbeza dalam karya sastera tetapi masyarakat pembaca akan dapat memperlajari disiplin ilmu yang dikemukakan secara kreatif dalam karya sastera. Oleh itu, tersebar pelbagai disiplin ilmu kepada masyarakat. Dengan ini, lonjakan kemajuan masyarakat dan negara akan mudah tercapai. Inilah rasionalnya, KOMSAS atau sastera dipelajari oleh semua murid daripada pelbagai disiplin ilmu.
Tegasnya, dimensi dalam karya sastera mesti bertukar. Untuk dimensi karya sastera bertukar, semua murid hendaklah mempelajari KOMSAS atau sastera. Dengan cara ini, pelbagai disiplin ilmu pengetahuan tersebar kepada masyarakat melalui pembacaan karya sastera. Barulah masyarakat boleh melonjakkan kemajuan diri dan bangsa ke tahap cemerlang, gemilang dan terbilang. Barulah masyarakat boleh mencapai tahap cendikiawan seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Al Farabi, Al Khawarizmi dan lain-lain.
Sehubungan dengan ini, dinasihatkan semua murid daripada aliran Sains, Kejuruteraan, Perakauanan dan lain-lain mempelajari KOMSAS atau sastera dengan tujuan untuk mengembangkan ilmu yang dipelajari itu kepada masyarakat yang tidak berpeluang mempelajari ilmu tersebut. Ini satu tugas dan tanggungjawab. Jangan kita teruskan membina dinding-dinding pemisah dalam penguasaan pelbagai disiplin ilmu itu.
Sedarlah bahawa di negara kita sudah ramai secara relatifnya mereka yang bukan orang sastera menulis cerpen dan sajak. Mereka telah mendapat pengikhtirafan. Karya mereka membuka peluang masyarakat mempelajari bidang ilmu penulis. Oleh itu, janganlah murid baru belajar Sains, Kejuruteraan, Perakaunan dan lain-lain di Tingkatan 4 dan 5 sudah membuat persepsi salah terhadap KOMSAS atau sastera. Persepsi salah ini mesti dihentikan sekira ingin menggapai kemajuan selengkapnya.
Sekian.

2 comments:

Zafer Muslim said...

Salam.
Saya setuju benar dengan pandangan cikgu. Saya seorang pelajar sains agama SPM tahun ini. Saya lihat bidang sastera negara perlu direvolusikan konsepnya sebaris dengan perkembangan sains dan teknologi.

Apakah tidak menarik elemen sains dan teknologi yang ditambah dengan aspek kemanusiaan menjadi karya sastera?

Tidak dinafikan, ramai juga yang menerima pengiktirafan, tetapi bilangan yang sedikit ini masih belum cukup. Lihat karya-karya tanah seberang yang diwarnai dengan bait puitis-penuh makna berkisar tentang perjuangan, pembebasan, tidak lupa juga disentuh lewat pasca Revolusi Indonesia, kemajuan sains, keadilan serta kemanusiaan zaman kini. Kita?

Ada perkara yang tidak memerlukan statistik dan penjelasan matematik kompleks. Perkara tersebut dijelaskan melalui pemahaman subjektif karya sastera diadun dengan pengetahuan yang luas mancakupi pelbagai bidang

Sekadar komen berdasarkan pengetahuan yang cetek dalam sastera. Kalau tersalah harap dimaafkan. :D

Salam.

ajamsariah said...

Salam.
pandangan anda cukup baik. Teruskan usaha mendalami ilmu dan curahkan ilmu itu secara kreatif untuk tatapan warga yang tidak berkesempatan mempelajari ilmu yang ada pada anda.
Tahniah!
Sekian dan terima kasih.