Assalamualaikum.
Belakangan ini timbul isu Phd. palsu dan lantaran itu banyak komen yang dapat dibaca dan didengar.
Memang proses untuk menyiapkan desertasi Phd. bukan satu tugas yang mudah. Suka atau tidak, ia melalui satu proses yang panjang bagi menguasai bidang dan topik yang dikaji. Hal ini sama dengan proses murid sekolah untuk meperoleh sijil SPM. Proses itu bermula dari tingkatan 1 hinggalah ke tingkatan 5. Proses yang panjang ini melahirkan satu tahap kematangan dalam penguasaan ilmu.
Kepada murid-murid sekolah, sukacita saya sebutkan bahawa proses pembelajaran yang dilalui sejak sekolah rendah hingga menengah dan kemudiannya ke peringkat universiti adalah untuk melahirkan golongan yang matang dan kaya ilmunya. Ini tentu sahaja akan menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara dan masyarakat.
Telitilah tamadun Mesir, Yunani, Islam, India, China dan Melayu sendiri, iaitu kemajuan negara dan masyarakatnya dijana oleh ahli masyarakat yang mempunyai kematangan dan kaya ilmu. Oleh sebab itu, golongan cendikiawan mereka diberikan penghormatan yang tinggi.
Percayalah tiada yang bulat datang bergolek dan tiada yang pipih datang melayang. Murid-murid harus menjauhi proses memperoleh ilmu secara mi segera. Proses memperoleh ilmu pengetahuan bukan satu proses yang singkat tetapi satu proses yang panjang. Proses ini memang amat menyeronokkan bagi mereka yang dahagakan ilmu pengetahuan. Sebaliknya, proses yang panjang ini hanya satu kegelisahan bagi yang gilakan sijil. Lantaran itu, bersabarlah dengan proses memperolehi ilmu pengetahuan demi kebaikan diri, keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara.
Sekian.
No comments:
Post a Comment