Assalamualaikum.
Akhir-akhir ini, saya sering ditanya tentang target soalan. Saya beritahu saya punya kerja ialah mengajar semua topik dan tajuk supaya apa-apa soalan pun nanti anak murid saya boleh belasah (menjawab).
Bagaimanapun, naluri manusia suka melihat-lihat atau menilai-nilai sesuatu yang berkemungkinan. Oleh itu, ada suara bertanya lagi. Jadi saya cakaplah tajuk-tajuk yang saya analisis tapi keluar ke atau tidak saya sendiri tidak tahu. Cuma apabila meramal sesuatu mesti ada asas seperti senarai soalan-soalan lalu dan melihat kekerapan soalan-soalan itu. Jadi apabila sudah dibuat satu keputusan berdasarkan andaian yang bukan wewenang, bolehlah diberikan perhatian istimewa sahaja. Oleh itu, guru dan murid hanya memberikan perhatian istimewa sahaja bukan sebagai pegangan seratus peratus. Ini bermakna semua topik atau tajuk tetap mesti diulang kaji sepenuhnya.
Berdasarkan keadaan ini, nampaknya lebih sukar dengan kaedah membuat ramalan berbanding mengajar dan belajar semua topik atau tajuk. Hal ini disebabkan mengajar dan belajar semua topik dan tajuk itu adalah dalam masa yang panjang, iaitu dua tahun. Usaha membuat ramalan atas nama apapun sukar kerana sebelah kaki lulus dan sebelah kaki lagi gagal.
Jadi..... berhati-hati dengan gejala membuat ramalan ini kerana soalan boleh keluar seperti yang biasa-biasa atau luar biasa. Jadi belajarlah dan ulang kajilah kerana yang bulat tak datang bergolek dan yang pipih tak datang melayang.
No comments:
Post a Comment