Monday, October 26, 2009

Meh..., Ulang kaji KOMSAS!

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN NYALAS
77100 ASAHAN, MELAKA

PROGRAM BIMBINGAN ISTIMEWA
BAHASA MELAYU KERTAS 2
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA 2009

DISEDIAKAN OLEH:
ENCIK MOHD AZAM BIN AHMAD
GURU CEMERLANG BAHASA MELAYU

Soalan 2 b - Cerpen
Baca petikan cerpen di bawah dengan teliti. Kemudian, jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat kamu sendiri.

“Apa yang kamu mahu datang ke sini?” Tegas Annyss.
“ Sekadar bertanya khabar.”
“Kalau itu yang kau inginkan, khabarku masih baik.”
“Bagaimana dengan Eyrique? Sudah ditemui?”
Pertanyaan Strenn berbau sinis. “Lupakan dia Annyss, kalau kau menjadi isteriku, sekali gus kau adalah permaisuri Alstonia. Tapi kalau Eyrique naik takhta, kau tidak akan dapat apa-apa.”
Strenn telah merasakan kemenangannya.
“Untuk pengetahuan kau, aku sudahpun berjumpa dengan Eyrique.” Annyss cukup nekad dengan jawapannya. “Esok akan kubawa dia ke istana. Bersedialah!” Dengan hamburan kata-kata itu, Annyss meninggalkan Strenn yang amat terkejut. Air mukanya jelas berubah tatkala Annyss menekan perkataan ‘sudah’.
Annyss sendiri agak tergaman dengan tindakannya. Entah mengapa lancar benar lidahnya mendustai Strenn. Dalam diam, dia memasang tekad. Eyrique harus muncul esok walau apa sekalipun halangannya.
Annyss menghempaskan diri di atas katil peraduannya. Kekecohan ini timbul semenjak Maharaja Alstonia yang ke-73 mangkat. Eyrique sebagai pewaris tunggal belum mencapai usia kedewasaannya. Oleh itu, adinda baginda dilantik sebagai pemangku.
(Annyss Sophillea, Antologi Anak Laut.)

Soalan: Set 1

1. Apakah yang diperkatakan oleh Strenn ketika datang menemui Annyss?
[ 3 markah ]

2. Sekiranya anda Annyss, apakah yang akan dilakukan untuk memastikan Eyrique ditemui sebelum hari pertabalan Strenn?

[ 3 markah ]
3. Berikan perwatakan Strenn seperti tergambar dalam petikan.

[ 3 markah ]

Soalan: Set 2

1. Apakah tawaran yang telah diberikan oleh Strenn kepada Annyss?
[ 3 markah ]
2. Jika anda Annyss, apakah sebab anda tidak menerima tawaran Strenn?
[ 3 markah ]
3. Huraikan ikhtibar yang boleh dicontohi seperti terdapat dalam petikan.
[ 4 markah ]
Selamat Menjawab....
Jawapan semuanya ada pada murid-murid kerana soalan pemahaman ada dalam petikan dan petikan itu ada pada murid. Soalan KBKK, jawapannya ada dalam akal dan fikiran murid. Begitu juga jawapan untuk soalan KOMSAS ada dalam petikan dan petikan itu ada pada murid. Oleh itu, murid hanya perlu memberikan semua jawapan tanpa takut-takut. Kesimpulannya, jawapan untuk soalan KOMSAS adalah jawapan murid bukan jawapan sesiapa pun tetapi jawapan itu mesti betul dengan topik perbincangan.
Selain itu, ayat untuk jawapan pemahaman KOMSAS mesti gramatis. Untuk ini, murid jangan risau kerana sebahagian ayat untuk jawapan hanya ambil daripada soalan. Misalnya:
[ Bagaimanakah anda boleh menewaskan Strenn?]
Ayat untuk jawapan murid seperti :
[ Saya boleh menewaskan Strenn dengan .......... Isi 1........, ...... Isi 2 dan .......... Isi 3 ......... ]
Dengan cara ini, ayat murid lebih gramatis.
Selepas mengambil sebahagian ayat daripada soalan, murid hanya perlu sesuaikan sahaja kata sama ada kata sendi, iaitu seperti, kerana atau dengan dan kata pemeri seperti ialah atau adalah .
Moga berjaya!

No comments: