Wednesday, October 6, 2010

Kata dan Makna - Tua dan Lama

Assalamualaikum....

Tempoh hari ungkapan tua telah digunakan untuk menunjukkan segolongan orang yang telah berumur oleh saya. Dengan itu, saya mengungkapkan ungkapan "orang tua". Bagaimanapun, ungkapan orang tua ini tidak disukai oleh seorang individu yang ada dalam majlis tersebut. Lantas beliau menukarkannya kepada ungkapan " orang lama ". Katanya, orang tua adalah sudah nyanyuk dan tidak bertenaga. Sementara orang lama dikaitkan dengan masih kuat, bertenaga dan masih boleh berfikir.

Isunya : Mengapakah saya dan kita mesti gunakan ungkapan orang tua dan bukan orang lama?

Penjelasan 1 :

Apabila kita gunakan ungkapan tua, kita akan kaitkan dengan kelapa tua kerana kelapa semakin tua semakin banyak minyaknya. Hal ini boleh dikaitkan secara positif dengan banyak pengalaman dan ilmu pengetahuan. Sebaliknya, apabila kita gunakan ungkapan lama, kita akan kaitkan dengan besi lama. Hal ini boleh dikaitkan secara negatif dengan berkarat, lusuh dan tidak elok untuk digunakan.

Penjelasan 2 :
Apabila kita kaitkan ungkapan lama dengan rumah, kita akan melakukan usaha membaiki rumah lama atau merobohkan terus rumah itu dan dibina rumah baru spuaya nampak cantik dan selamat untuk didududki. Sebaliknya, apabila kita kaitkan ungkapan tua dengan rumah lalu adanya ungkapan rumah tua. Orang tidak akan merobohkan rumah tua. Sebaliknya, rumah tua dianggap mempunyai nilai yang tinggi dan menyimpan nostalgia.

Penjelasan 3 :
Sekira kita amat-amati penggunaan istilah dalam komunikasi harian, kita dapati adanya ungkapan pengetua dan ketua. Ungkapan pengetua dan ketua memberikan maksud orang yang berwibawa. Lantaran itu, tidak ada ungkapan pengelama atau kelama.

Kesimpulannya :
Ungkapan tua membawa konotasi yang baik seperti berpengalaman, berilmu dan berpengetahuan serta berwibawa. Sebaliknya, ungkapan lama membawa konotasi yang negatif seperti karat, lusuh dan tidak boleh digunakan dengan baik. Oleh itu, penggunaan ungkapan orang tua adalah lebih bernilai dan baik berbanding ungkapan orang lama. Nilai ini telah diberikan oleh budaya dan bukan berdasarkan inteprestasi seseorang individu yang tidak mempunyai asas yang kukuh.

Bagaimanapun, ada individu berhujah bahawa kita boleh gunakan mana-manapun sama ada tua atau lama. Untuk itu, saya berhujah menerusi ungkapan wafat, mangkat, meninggal dunia, mati dan mampus. Kita maklum bahawa ungkapan ini membawa pengertian yang sama sahaja. Pun begitu, budaya memberikan nilai dalam penggunaan ungkapan tersebut. Misalnya, mati untuk binatang, wafat untuk rasul dan nabi, mengkat untuk sultan dan raja dan mampus tidak sesekali digunakan untuk orang dan hanya digunakan oleh orang yang berpekerti rendah.

Sekira alasan bahawa kita boleh menggunakan kata atau ungkapan sesuka hati, adakah kita boleh terima dengan gembira apabila murid menggunakan ayat di bawah :

a. Cikgu A telah mampus akibat serangan jantung.
b. Kucing kesayangan saya telah meninggal dunia pada petang semalam.

Jawapannya tentu kita tidak boleh menerima ayat a dan b kerana dari sudut makna pragmatiknya adalah salah dan tifdak dapat diterima oleh kita yang berada dalam budaya. Justeru apabila menggunakan kata atau ungkapan tertentu, kita tidak boleh menggunakannya secara sewenang-wenang. Sebaliknya, kata dan ungkapan mempunyai makna secara pragmatik yang berasaskan pelbagai fitur seperti budaya, peraturan, latar, dan sebagainya.

Sekian dan terima kasih.

Hujah berkaitan di kalangan dan dalam kalangan akan menyusul... tungguuuuu !

No comments: