Thursday, February 3, 2011

Viva-Voce PhD - Satu catatan pengalaman dan penghargaan

Pada tarikh 25 Januari 2011, mencatatkan satu sejarah bagi diri saya. Tarikh itu mengkehendaki saya melalui satu daripada kaedah peperiksaan PhD. Tepat jam 2.30 petang, para sarjana yang menjadi panel telah masuk ke bilik dan bermesyuarat. Lebih kurang jam 3.10 petang, saya dipanggil dan diberikan kesempatan untuk membentangkan kajian.

Selepas pembentangan, para sarjana telah mengujarkan pelbagai isu dan soalan. Sesi soal jawab ini benar-benar menguji segala-galanya. Sesi soal jawab bukan sahaja menguji tahap keintelektualan dan penguasaan bidang kajian tetapi turut menguji kematangan dan kesabaran. Setiap soalan umpama peluru tidak bermata yang datang menerjah dan mesti ditangkis dengan cekap. Lebih kurang jam 4.10 petang baru sesi soal jawab selesai dan saya diminta keluar dari bilik mesyuarat.

Sesi viva-voce ini benar-benar memperlihatkan kewibawaan yang tinggi dalam ilmu, pengalaman dan intelektual para sarjana. Mereka telah menggunakan kepakaran, ketinggian ilmu dan pengalaman menguji saya sebagai calon. Mereka melaksanakan tugas dengan jujur dan amanah tanpa berselindung atau takut-takut.

Setelah tenang semula, iaitu selepas sehari sesi viva-voce, barulah fikiran lebih rasional. Saya amat bersyukur kerana saya dalam kalangan yang tidak ramai dapat menikmati pengalaman tersebut walaupun sukar untuk disebut dengan kata-kata tentang cabaran hebat dalam viva-voce tersebut. Sesi viva-voce menjadikan diri terasa amat kerdil. Semua semangat dan kekuatan diri yang ada terbang entah ke mana arah yang tidak diketahui. Memang pengalaman yang dilalui dalam viva-voce ini bukan pengalaman yang mudah dan tentu tidak akan saya mahu ulang walau untuk hanya sekali sahaja lagi.

Namun sesi viva-voce turut mencatat kenangan indah. Pengalaman yang paling indah adalah semasa sesi pendengaran keputusan. Saya yang berada di luar bilik mesyuarat telah dipanggil semula. Waktu itu semua mata sarjana memandang ke arah saya. Mata dan telinga saya hanya berfokus pada kata-kata pengerusi. Hati kecil berkata kalau gagal, malunya ...! Namun, hati tidak sabar untuk mendengar kata-kata pengerusi walaupun hati pada ketika itu terasa amat lemah dan tidak bermaya. Apabila pengerusi menyatakan yang jawatankuasa telah bermesyuarat dan bersepakat bahawa tesis Encik Mohd mencapai merit PhD. Tahniah Encik Mohd lulus, barulah terasa semangat dan kekuatan yang terbang entah ke mana, menyelinap masuk semula menerusi urat saraf yang sejak 2.30 petang kejang dan kaku. Pada masa ini, hati kecil hanya berkata syukur Ya Allah ! syukur Ya Allah !

Saya akui kejayaan ini adalah kurniaan Allah S.W.T. jua. Tanpa kurniaan-Nya, tidak akan saya miliki PhD. walaupun seribu tahun lagi saya cari dan usahakan. Saya juga akui bahawa yang diperoleh ini bukan saya bersendirian. Ramai pihak yang mengiringi perjuangan ini dengan doa dan sokongan. Justeru terima kasih kepada semua atas segala doa dan sokongan.

Sekian.

7 comments:

puteri ^^, said...

tahniah..,cikgu.. ^^,

juilis69 said...

cikgu Azam, saya tumpang gembira dengan kejayaan cikgu.

Juilis Mokujal
SMK Narinang
Kota Belud

jazzdinna said...

congrats to u great teacher

jazzdinna said...

congrats to great teacher..!!!

Hajah Samiah binti Samari said...

Tahniah Cikgu Azam, walaupun barangkali ucapan ini terlewat tetapi saya sangat-sangat berbangga dengan pengalaman dan pencapaian Cikgu. Terima kasih tidak terhingga juga atas sokongan dan dorongan yang Cikgu beri kepada rakan-rakan yang lain.

Hajah Samiah binti Samari said...

Tahniah Cikgu Azam, walaupun ucapan ini barangkali terlewat, namun saya fikir meraikan kejayaan itu tidak akan terhenti setakat sebulan atau dua bulan. Benarkan saya meraikan kejayaan Cikgu. Terima kasih juga atas segala dorongan dan sokongan yang Cikgu berikan kepada semua rakan

Hajah Samiah binti Samari said...

Tahniah Cikgu Azam, walaupun barangkali ucapan ini terlewat tetapi saya sangat-sangat berbangga dengan pengalaman dan pencapaian Cikgu. Terima kasih tidak terhingga juga atas sokongan dan dorongan yang Cikgu beri kepada rakan-rakan yang lain.