Assalamualaikum w.b.r. dan Salam 1Malaysia...,
Tanggal 16 Mei akan muncul lagi dan bermakna satu perayaan akan diadakan bagi meraikan golongan guru atau pendidik kerana tanggal 16 Mei itu merupakan tarikh bagi menghargai dan mengiktiraf golongan guru. Lantas saya pun mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Guru kepada guru-guru saya dan rakan guru sekalian.
Dengar berita, perayaan Hari Guru Kebangsaan pada 16 Mei ini akan diadakan di Sarawak. Dikatakan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran akan merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2011 itu. Dalam berita surat khabar juga ada ditulis bahawa akan ada berita gembira untuk guru yang akan diumumkan.
Memang Timbalan Perdana Menteri sentiasa memberikan perhatian yang hebat kepada golongan guru. Pada Majlis Sambutan Hari Guru Kebangsaan 2010 lalu, Timbalan Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa guru-guru yang memiliki PhD. diberikan kenaikan satu gred... hebat pengumuman tersebut. Malangnya, pengumuman Timbalan Perdana Menteri tersebut dikatakan tidak diluluskan oleh sebuah agensi pentadbiran kerajaan. Berita tentang agensi pentadbiran itu tak meluluskan pengumuman Timbalan Perdana Menteri berkaitan kenaikan satu Gred untuk guru yang memiliki PhD. itu benar atau tidak, tidak pula dapat dipastikan tapi berita ini telah didengar dalam dua majlis. Berita ini cukup membuatkan kita termanggu sekejap kerana pengumuman Timbalan Perdana Menteri itu boleh dibatalkan oleh suatu entiti di bawah Timbalan Perdana Menteri.... sekira benarlah keadaan ini, hanya dapat diungkapkan dengan kata-kata "sungguh hebat Malaysiaku!"
Pun begitu, saya yakin golongan guru sentiasa setia melaksanakan semua tugas dengan penuh tanggungjawab dan amanah. Sekira ada pengumuman gembira untuk guru, guru akan segera merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan dan memanjatkan rasa syukur kehadrat Allah S.W.T.
Bersempena Sambutan Hari Guru 2011, saya menyeru diri saya dan rakan guru untuk sama-sama seia sekata dengan kerajaan dan Kementerian Pelajaran bagi mentransformasikan diri dan minda bagi merakyatkan kecemerlangan di seluruh pelosok negara. Marilah kita terus nyalakan obor biar membakar diri dan marilah jadi lilin membakar diri untuk orang lain demi agama, bangsa dan negara. Marilah kita guru hari ini menjadikan guru zaman dahulu sebagai teladan, iaitu bekerja tanpa menghambat, mendesak dan mengejar gajaran besar tetapi cukup dengan gaji yang mampu menanggung keluarga dan gembira apabila mendengar ucapan keramat Terima kasih cikgu! Pun begitu sekira tahun ini ada pengumuman gembira, biarlah berita itu benar-benar menggembirakan guru dan bukan berita yang menjadi kosmetik majlis.
Selamat Hari Guru!
Mohd Azam Bin Ahmad
15 Mei 2011 4.50 ptg.
No comments:
Post a Comment