Monday, May 16, 2011

Pengetua dan GPK Dapat Naik Gred

Assalamualaikum w.b.r. dan Salam 1Malaysia

Baru sebentar tadi dapat membaca berita gembira berkenaan pengetua dan GPK di sekolah dapat naik gred. Tidak ketinggalan juga guru di bilik darjah juga dapat menikmati naik gred menersui empat kategori. Pengumuman yang sungguh memberangsangkan ini tentunya dapat memartabatkan profesion keguruan... Semoga pengumuman ini meningkatkan semangat dan mentransformasikan pengetua, GPK dan guru untuk bekerja dengan efisyen, efektif, inovatif dan kreatif untuk mencapai lonjakan saujana terhadap kecemerlangan institusi sekolah dan kemenjadian murid.

Sejajar dengan pengumuman ini dan disambut dengan penuh gembira, seharusnya kita hendaklah berani mentransformasikan kaedah pemilihan pengetua dan GPK. Sebelum ini, tiada satu kaedah yang standard diguna pakai bagi pemilihan pengetua dan GPK mahupun GKMP. Kebanyakan pemilihan adalah atas dasar pencalonan oleh sesuatu pihak yang berpeluang membuat pencalonan tanpa suatu penilaian yang mantap dan ada sistemnya. Dengan itu, lahirlah keadaan seperti ada sekolah bertuah mendapat ketua guru yang berkaliber dan ada sekolah pula yang kurang tuahnya apabila mendapat ketua guru yang kurang kaliber. Lebih malangnya, ada kalangan ketua guru itu sendiri memberitahu bahawa dia tidak berminat jadi ketua guru tetapi tiada peluang untuk menolaknya.

Sudah sampai masanya dan sudah hampir 54 tahun Malaysia merdeka, tidak patut ada sekolah dengan pelbagai kategori yang antara satunya kelihatan jauh band atau rangkingnya. Sudah sampai masanya, sistem pendidikan negara memilih ketua guru bermula GKMP, GPK dan pengetua / guru besar bukan sekadar mengisi kekosongan tetapi hendaklah melihat bakat dan kecemerlangan kepemimpinan dari aspek daya kepimpinan, minda cemerlang, komitmen terhadap institusi, ilmu, kemahiran dan hubungan luar bagi menjana kecemerlangan institusi. Justeru disarankan setiap ketua guru daripada GKMP, GPK dan pengetua hendaklah melalui proses permohonan dan penilaian dari aspek bakat kepemimpinan, minda, ilmu dan pengetahuan serta kemahiran. Inisiatif ini penting sebagai balasan terhadap kebaikan kerajaan, iaitu dalam usaha mengawal defisit, kerajaan masih mahu melihat profesion keguruan terus terbela.

Berhubung kenaikan gred bagi guru dalam bilik darjah tidak ada masalah kerana mereka mesti membuat permohonan dan melalui penilaian. Cuma pelantikan Guru Cemerlang bagi tahun-tahun tertentu yang tidak melalui penilaian oleh pihak JNJK menerbitkan sedikit isu. Bagaimanapun, dipercayai pihak berkaitan sedang melakukan usaha dan tindakan bagi menangani isu berhubung Guru Cemerlang berkenaan. Sebenarnya, tiada isu berkaitan pelantikan Guru Cemerlang ini sekira ketua guru merupakan ketua guru yang berwibawa kerana tentu sahaja ketua guru ini akan memainkan peranan secara berwibawa dalam memilih kalangan guru mereka untuk jawatan Guru Cemerlang. Pun begitu, sekira Guru Cemerlang yang dipilih oleh Ketua Guru tidak menunjukkan kecemerlangan, Ketua Guru yang berwibawa, mempunyai bakat kepemimpinan dan berilmu pengetahuan serta berkemahiran masih dapat melaksanakan instructional leadership dalam menggerakkan Guru Cemerlang yang dipilih oleh mereka sendiri.

Apa-apapun, umum percaya bahawa sekira Ketua Guru berkaliber dan berwibawa, seluruh warga sekolah akan dibawa ke arah kecemerlangan. Lihatlah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kita yang berkaliber dan berwibawa, seluruh rakyat sedang dibawa oleh beliau berdua untuk bergerak ke arah kecemerlangan. Pelbagai usaha dan rancangan yang terkehadapan dan di luar pemikiran rakyat dilaksanakan. Demikianlah analoginya...!

Sekian.

No comments: