Assalamualaikum w.b.r.
Tempoh hari terbaca dalam akhbar tentang Menteri Pengajian Tinggi memberikan respons berhubung isu calon PhD. tidak dapat menyelesaikan pengajian hingga tamat kerana komitmen tinggi pada kerja dan keluarga. Beliau mengatakan bahawa bagi mereka yang tidak dapat menyelesaikan pengajian dalam tempoh akan diberikan masa tambahan dan akhirnya mereka akan dapat menyiapkan pengajian.
Berbalik isu calon PhD tidak dapat menyelesaikan pengajian dalam tempoh pengajian sebenarnya tidak timbul. Hal ini disebabkan tempoh pengajian PhD. tidak boleh dijamin dalam suatu tempoh ditetapkan . Sebaliknya, tempoh yang ditetapkan ialah tempoh pembiayaan biasiswa, tempoh cuti bekerja atau tempoh masa yang ditetapkan oleh pihak pentadbiran atas maksud pentadbiran. Jadi jangan nanti salah kefahaman, diminta pula pengajian PhD. dibentuk program secara mudah untuk diperoleh dalam tempoh yang boleh dijamin seperti 1 tahun, 2 tahun atau 2 1/2 tahun.
Sebenarnya, mesti difahami bahawa proses memperoleh ilmu mesti melalui beberapa proses seperti mengadap guru, membaca banyak buku dan tulisan cendekiawan, selalu berdiskusi, melalui tempoh masa lama mengikut peringkat pengajian dan lain-lain. Berhubung tempoh masa ini mudah sahaja untuk memahaminya. Misalnya, pengajian peringkat UPSR selama enam tahun, PMR selama 9 tahun dan SPM ialah 11 tahun. Oleh itu, sudah tentu pengajian untuk peringkat PhD. tidak patut berlaku dalam tempoh yang pendek seperti setahun atau setahun setengah. Memang diakui ada calon yang dapat menyiapkan pengajian dalam tempoh 2-2 1/2 tahun tetapi calon itu merupakan seorang calon yang mampu memberikan komitmen yang terbaik dan tertinggi dengan melupakan urusan yang lain seperti pergi bercuti, melancong dan berehat. Malah, urusan rumah tangga diambil alih oleh isteri atau anak-anak. Jadi kalau inginkan PhD. menerusi usaha yang sederhana, tempoh masa 4,5 dan 6 tahun itu adalah normal. Sedangkan ada yang masih sanggup melengkapkan pengajian sehingga mencecah tempoh masa 7-8 tahun kerana mereka sedar bahawa usaha mereka demikianlah juga.
Sebenarnya, tempoh masa PhD dalam masa 4, 5, dan 6 tahun memang perkara biasa. Malah, tempoh itu memberi peluang kepada calon membina kemantapan dan kematangan ilmu. Tempoh PhD. dalam waktu singkat memberikan gambaran bahawa kita bukan melihat ketinggian ilmu tetapi gelaran Dr. Oleh itu, Menteri Pengajian Tinggi mesti bertegas dalam menjaga kualiti dan martabat PhD di Malaysia ini.
Usah ikutkan kata-kata yang tidak berasas, kelak nanti kita mengulang sejarah yang telah berlaku, iaitu pernah suatu masa dahulu ada kata-kata yang mencemuh Ijazah Pertama dengan kata-kata Ijazah Daun Getah dan lain-lain. Hal ini berlaku apabila kursus Ijazah Pertama secara sambilan pada tahun-tahun itu yang dijalankan pada hari Sabtu dan Ahad hanya berlangsung dalam tempoh masa 2 tahun. Sedangkan pada tahun-tahun '70-'80-an, Ijazah Pertama secara sambilan atau disebut pengajian luar kampus melalui tempoh masa sehingga 6 tahun. Oleh itu, marilah kita melihat kesarjanaan imam Shafie dan Malik yang telah melalui proses pengajian yang begitu panjang. Lihatlah juga kesarjanaan Za'ba yang telah dikatakan masih berada di kampus dengan tekun meneliti buku-buku dan mengkaji walaupun jam sudah menunjukkan jam 2.00 pagi (Menurut bekas anak muridnya yang juga mahaguru saya). Oleh itu, sedarlah tiada yang bulat datang bergolek dan yang pipih datang melayang.
Pada pengalaman saya sendiri, sepanjang saya menyiapkan pengajian peringkat PhD. selama 5 tahun, saya masih boleh membina kerjaya saya sehingga memperoleh gred DG 48 (Guru Cemerlang) dengan mendahului senior-senior saya, menghasilkan artikel dan buku, membentang kertas kerja dan seminar, aktif dalam persatuan GC, melaksanakan tugas dan kerja di peringkat PPD, jabatan dan kementerian serta memegang jawatan dalam masyarakat. Malah, seingat saya dalam tempoh 5 tahun itu, saya hanya mengambil cuti atau Cuti Rehat Khas tidak lebih daripada 5 hari (sehingga tarikh artikel ini ditulis dan tak termasuk cuti untuk konvo nanti). Sepanjang tempoh 5 tahun itu juga dan seingat saya, cuti sakit saya tidak lebih daripada 8 hari (sehingga tarikh artikel ini ditulis). Pendedahan ini bukan hendak menunjukkan-nunjuk tetapi untuk menjelaskan bahawa kepada semua bahawa tiada masalah sebenarnya untuk belajar hingga ke peringkat Sarjana atau PhD. Cuma sanggup atau tidak kita melupakan waktu bersiar-siar, melancong, bercuti, berehat, bersantai, tidur banyak dan lain-lain. Cuma sanggup atau tidak kita mendisiplinkan diri untuk mengikuti jadual belajar, jadual kerja, jadual masyarakat dan jadual keluarga.
Kesimpulannya, tempoh masa yang selalu disebut dalam pengajian peringkat PhD., sebenarnya ialah tempoh masa pembiayaan biasiswa, tempoh cuti kerja dan tempoh masa atas maksud urusan pentadbiran universiti. Hakikatnya, pengajian peringkat PhD. (dan mungkin Sarjana secara desertasi) berlangsung dalam suatu tempoh masa yang tidak tetap dan melebihi 3 tahun serta melalui suatu proses yang panjang yang memerlukan kecekalan dan komitmen seperti tidak jemu mengadap guru, berdiskusi, melakukan kajian lapangan dan kajian kepustakaan, pembentangan, berseminar, melakukan pembetulan dan pengubahsuaian dan lain-lain. Tegasnya, tempoh masa pengajian peringkat PhD adalah tertakluk kepada calon sendiri tetapi tempoh masa itu bukan berlaku dalam tempoh masa singkat dan boleh ditetapkan. Yang jelas, tempoh masa panjang ini tidak menjadi kudis bagi yang mahukan ilmu tetapi yang semata-mata mahukan sijil dan gelaran, tempoh masa yang 3 tahun atau lebih sungguh menyakitkan. Berhubung dengan hal ini, penyelia saya pernah berkata, iaitu "awak hendak ilmu ke apa? Kalau awak hendak ilmu, macam ni le (kena belajar, buat kajian, buat pembetulan dan pengubahsuaian, berseminar dan lain-lain yang melalui tempoh masa yang panjang).
Sekian dan terima kasih.
2 comments:
ha!ha! bole caye ker bro...
U cuba dulu bro! Tapi jangan lupa cari institusi dan penyelia yang gah kualiti keilmuannya... Selamat Maju Jaya!
Post a Comment