Thursday, August 21, 2008

Merdeka ! Merdeka ! Merdeka !

Tanggal 31 Ogos ini hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi. Hari itu hari keramat kepada warga Malaysia kerana pada hari itu adalah hari bersejarah kepada kita semua, iaitu meraikan ulang tahun kemerdekaan negara tercinta ini untuk kali ke-51 tahun.
Sesungguhnya, kita sebagai generasi pewaris amat bertuah kerana tidak perlu bersusah payah menghadapi segala kegetiran untuk menikmati kemerdekaan. Semua kegetiran itu telah ditanggung dengan penuh ikhlas oleh para pejuang. Justeru sempena sambutan ulang tahun kemerdekaan Malaysia kali ke-51 tahun ini, marilah kita sebagai generasi pewaris meraikannya dan merayakannya dengan penuh semangat perpaduan. Jadikanlah tarikh keramat 31 Ogos itu sebagai 'turning point' untuk kita menginsafi erti kemerdekaan negara. Usahlah antara kita pertikai-mempertikaikan antara satu sama lain kerana masing-masing telah mendapat hak masing-masing dan dijamin oleh perlembagaan negara. Sekiranya kita masih pertikai- mempertikai akan sesuatu hak yang telah dipersetujui oleh nenek moyang kita dahulu semasa ingin mencapai kemerdekaan, bermakna kita masih bodoh, kita masih dungu walaupun kita mengakui kita seorang terpelajar. Hal ini kerana para pejuang dahulu yang ada antara mereka tidak bersekolah setinggi kita sudah tahu akan formula terbaik untuk warga negara bertuah ini untuk hidup harmoni dan makmur.
Sedarlah generasi pewaris bahawa tidak ada apa-apa yang hebat kepada kita sekiranya negara yang merdeka ini tidak dapat kita semua jadikan sebagai sebuah negara harmoni setelah nenek moyang kita berjaya membebaskan negara ini daripada segala kesengsaraan oleh penjajah dan petualang. Tidak hebatnya kita sekiranya kita masih kabur bahawa negara tercinta ini telah tercipta atas dasar toleransi dan perpaduan. Lantaran itu, sekiranya kitalah orang yang mencetuskan ketidakharmonian yang membawa kepada ketidakmakmuran, kita sebenarnya petualang yang nyata.
Marilah kita sebagai generasi pewaris menghayati erti kemerdekaan negara Malaysia tercinta kali ke-51 tahun ini dengan membuang perasaan iri hati, prejudis dan tamak antara satu sama lain.
Merdeka, merdeka, merdeka...... laungkanlah generasi pewaris..... kibarkanlah Jalur Gemilang sebagai lambang kita adalah pewaris Malaysiaku Gemilang!

No comments: