Thursday, August 21, 2008

Qaseh

Ini puteriku yang pertama dan terakhir.... insyaallah.

Kuberikan namanya "Qaseh Aznida Sari" dengan maksud "Kasih Azam kepada Haslinda nan suci" atau "Bunga-Bunga Kasih Azam Kepada Haslinda" .

Peristiwa lucu menamakanya kerana ada rakan kata nanti dicarikan dalam kamus Arab atau bertanya kepada ustaz atau ustazah tentang maksud dalam bahasa Arab.... Aku jawab bahawa anakku itu bukan Arab dan tak akan boleh menjadi Arab.


Yang pasti Qaseh adalah Melayu. Yang pasti nama itu mempunyai maksud yang baik dalam kamus Melayu atau kamusku sendiri. Yang pasti Qaseh beragama Islam. Yang pasti aku mesti memastikan Qaseh menjadi Islam dan bukan Arab, itulah amanah dan tanggungjawabku. Yang pasti disuruh berikan nama anak dengan maksud yang baik-baik tetapi bukan semestinya nama daripada senarai kata kamus bangsa Arab.

Kenapa kita jumud tentang bangsa? Mengapakah kita mencari nama anak hanya gunakan senarai nama bangsa Arab?.... Sedangkan Allah SWT sendiri menjelaskan bahawa Dia menjadikan manusia di dunia ini daripada beberapa bangsa.

Memang diakui antara nama-nama yang baik itu adalah nama-nama nabi, rasul, nama syurga, nama muslim dan muslimah Islam terbilang dan nama-nama yang baik yang disebut dalam Al-Quran. Gunakanlah nama-nama ini untuk anak-anak sekiranya suka. Begitulah juga tiada halangan untuk meletakkan nama-nama anak daripada senarai kata dalam kamus bangsa Arab atau nama Arab yang lain sekiranya mempunyai maksud baik. Namun begitu, janganlah berfikiran jumud. Haruslah difahami juga bahawa tidak pernah ada halangan untuk menamakan anak-anak dengan nama yang mempunyai maksud yang baik-baik daripada kamus setiap bangsa kerana Allah SWT sendiri menjadikan manusia daripada beberapa bangsa.... Waallahualam.

Moga Qaseh menjadi muslimah Islam yang berjaya di dunia dan akhirat jua..... amin!

No comments: