Saturday, August 1, 2009

Kursus GKMP Bahasa-Model Wawasan

Pada tanggal 25 Julai 2009, saya telah diundang untuk memberikan ceramah kepada GKMP Bahasa seluruh Melaka. Lantaran itu, saya telah bercadang untuk memberikan ceramah di bawah tajuk Kemahiran Bahasa dalam P& P Bahasa. Bagaimanapun, oleh sebab kesuntukan masa untuk membuat kajian dan beberapa masalah lain, saya telah menukar tajuk ceramah kepada Kemahiran Mengarang berdasarkan Model Wawasan. Dalam ceramah tersebut, saya telah membentangkan kaedah pengolahan idea/isi yang meliputi kaedah pengolahan deduktif, induktif dan eklektik berdasarkan Model Wawasan.

Dalam ceramah tersebut, saya rasa tidak selesa apabila kalangan GKMP Bahasa itu ada kalangan guru bahasa Inggeris. Memang saya yakin Model Wawasan ini boleh diterapkan dalam mengarang bahasa Inggeris tapi itu hanya keyakinan saya. Jadi saya kuatkan hati menyampaikan ceramah saya itu.

Pada akhir ceramah, saya sungguh berasa gembira apabila guru-guru bahasa Inggeris yang ada telah memberikan respon yang sungguh positif terhadap Model Wawasan yang disampaikan. Inilah juga yang berlaku semasa saya bentangkan Model Wawasan di Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang 2008 dahulu.

Dengan dua siri ceramah Model Wawasan yang melibatkan guru-guru bahasa Inggeris, keyakinan saya terhadap Model Wawasan untuk meningkatkan kemahiran mengarang dalam bahasa Melayu dan Inggeris semakin kukuh. Kepada guru dan murid yang telah mengikuti ceramah atau bengkel Model Wawasan ini, sampai-sampaikanlah kepada rakan-rakan.


Sesungguhnya, Model Wawasan ini suatu ilmu dan adalah hak Allah S.W.T. jua. Saya hanya dipinjamkan-Nya dengan ilmu itu dan bertanggung jawab pula menyebarluaskannya. Pada masa yang sama, ceramah saya dengan Model Wawasan ini bukanlah menidakkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lain. Lihat dan izinkanlah Model Wawasan ini menjadi sebagai pelengkap pada kaedah dan pendekatan mengarang yang ada.


Sekian.

No comments: