Assalamualaikum...
Apabila peperiksaan menjelang tiba, terutamanya UPSR , PMR dan SPM, pihak tertentu mula giat mengadakan pelbagai program seperti kelas tambahan yang diberikan pelbagai nama yang agak istimewa. Usaha ini amat dialu-alukan dan sungguh murni, apatah lagi semua pihak yang terlibat sanggup berkorban masa, wang dan keringat demi anak bangsa. Akhirnya, apabila keputusan peperiksaan diumumkan, keputusannya seperti keputusan yang lalu juga (untuk sekolah yang bukan bertaraf bintang), iaitu jumlah murid yang mendapat keputusan cemerlang adalah sama. Hati mula hiba. Tapi itu hanya sementara. Tahun berikut dibuat program yang serupa juga. Akhirnya, Pi Mai, Pi Mai, Tang Tu Juga.
Alangkah eloknya, sekira komitmen dan daya usaha yang ada itu dimanfaatkan dengan lebih berkesan. Pihak yang merancang program mesti berasaskan data dan maklumat daripada program lalu untuk merencanakan program pada tahun berikut. Oleh itu, program yang diadakan tidaklah sama saban tahun tetapi memperlihat suatu perancangan yang mempunyai strategi dan mempunyai rasional. Insyaallah perancangan yang demikian akan lebih berkesan untuk melonjakkan pencapaian ke tahap lonjakan saujana. Oleh hal demikian, tidaklah saban tahun, yang terlibat meruntun hati dengan perancangan yang streotaip yang impaknya amat minimum.
Yang terlibat sebagai perancang program, teruskan usaha. Hanya tambah sedikit daya fikir agar lebih strategik dan kritis dalam menggerakkan program. Jangan orang buat, kita pun buat. Tapi orang dapat hasil yang cemerlang, kita dok tang tu juga. Yang melaksanakan dasar program, teruskan usaha melaksanakan dasar yang ditetapkan oleh pihak perancang dan pembuat dasar. Jangan pula lebih sudu daripada kuah. Bertandaklah di lantai sendiri. Insyaallah usaha yang bersungguh-sungguh dan ikhlas mendapat keberkatan jua.
No comments:
Post a Comment