Wednesday, August 4, 2010

Bengkel Penulisan Teks Ucapan GC BM Jasin

Pada 2 Ogos 2010 yang lalu, Guru Cemerlang Bahasa Melayu (GC BM) Daerah jasin telah berbengkel di PPD Jasin. Bengkel ini bertujuan untuk mendedahkan kepada GC BM itu dengan kemahiran dan teknik menulis teks ucapan. Encik Jumat Md. lani dan Cik Hajah Nora Abu Bakar telah bersama-sama dalam bengkel ini. Akhir bengkel ini, semua GC BM itu diberikan tugasan, iaitu menulis teks ucapan. Mereka akan berkumpul semula di PPD Jasin pada 9 Ogos 2010 ini untuk sesi bengke kedua. Bengkel penulisan teks ucapan ini telah dipimpin oleh GC BM Mohd Azam Bin Ahmad.

Diturunkan contoh draf teks ucapan dan teks ucapan ini tidak semestinya teks yang dibaca oleh VIP berkenaan. Teks ucapan ini hanya sekadar contoh untuk tujuan bengkel tersebut.


Teks Ucapan
Y.BHG. Tan Sri Haji Alimuddin b. Haji Mohd Dom
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang 2009


Assalamualaikum w.b.r. dan Salam 1Malaysia.

1. Terima kasih Pengacara Majlis,
Yang Berbahagia Dato’ Dr. Asariah bt. Mior Shaharuddin Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Pembangunan Profesionalisme Keguruan),
Yang Berbahagia Dato’ Misrah b. Haji Ibrahim Ketua Nazir Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Kementerian Pelajaran Malaysia,
Yang Berbahagia Encik Sulaiman b. Wak Pengarah Pelajaran Malaysia,
Yang Berusaha Tuan Haji Rodzli b. Hashim Yang Dipertua Majlis Guru Cemerlang Malaysia,
Ketua-Ketua Sektor Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti
Ketua-Ketua Jemaah Nazir Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Negeri
Jawatankuasa Majlis Guru Cemerlang Malaysia
Ahli Jawatankuasa Induk Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang 2009
Pembentang-Pembentang Kertas Kerja Sidang Selari
Guru-Guru Cemerlang dan hadirin sekalian.

2. Terlebih dahulu saya memanjatkan rasa syukur kehadrat allah S.W.T. kerana saya telah diberikan peluang dan kesempatan untuk hadir dalam Majlis Perasmian Penutup Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang Kali Ke- 7 2009 ini.

3. Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pihak jawatankuasa persidangan kerana telah mengundang saya ke majlis penutup persidangan ini. Sesungguhnya, undangan yang diberikan ini sukar untuk saya lepaskan begitu sahaja kerana persidangan ini begitu besar maknanya kepada saya dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

4. Pada hari ini kita semua berasa berbangga kerana pada hari ini adalah kemuncak Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang 2009. Kebanggaan ini saya rakamkan kerana kita telah berjaya menghimpunkan sebegitu ramai guru cemerlang dari seluruh Malaysia yang merangkumi pelbagai bidang dan mata pelajaran. Hal demikian menjelaskan bahawa perhimpunan ini merupakan satu perhimpunan yang memberikan isyarat bahawa Malaysia memiliki kekuatan dan kewibawaan untuk melaksanakan agenda pendidikan untuk anak bangsa.

5. Oleh itu, saya menyeru agar guru cemerlang dapat memainkan peranan dan melaksanakan amanah seperti yang dihajatkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Sesungguhnya, seruan ini dibuat kerana pendidikan merupakan tunjang dan landasan untuk membina insan dan negara yang tercinta ini. Saya percaya guru cemerlang adalah antara instrument penting dalam melaksanakan peranan pendidikan ini.

6. Kementerian Pelajaran Malaysia amat memerlukan guru, khususnya guru cemerlang dapat melaksanakan tugas dengan komited. Harapan yang diharapkan pada guru cemerlang kerana peranan penting pendidikan untuk melahirkan modal insan dengan minda kelas pertama. Matlamat ini telah menjadi Misi Nasional dan telah digariskan dengan jelas dalam Rancangan Malaysia Ke-9.

7. Untuk memastikan misi ini tercapai, pendidikan yang dilaksanakan oleh guru, khususnya guru cemerlang semestinya merupakan pendidikan yang berkualiti dan relevan dengan arus perubahan dan sentiasa pula diperkasa dengan pelbagai inovasi dan ilmu pengetahuan. Usaha ini penting kerana guru, khususnya guru cemerlang mempunyai peranan membantu dan melonjakkan Negara untuk lebih meningkat maju dan mampu bersaing di era globalisasi, khususnya berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara maju di dunia. Sehubungan dengan ini, suka saya ingatkan semula bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia sendiri telah menetapkan pendidikan negara menjurus pada pendidikan bertaraf dunia sebagai agendanya. Tentunya, agenda ini menuntut peranan kita semua untuk bergerak dan berusaha secara kolektif dalam menjayakannya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

8. Negara mengalami pelbagai perubahan. Perubahan itu akan terus berlaku akibat pengaruh luar mahupun pengaruh dalaman. Fenomena ini tidak boleh dielakkan tetapi mesti ditempuhi dengan kebijaksanaan. Hakikat daripada perubahan itu memerlukan pelbagai perubahan dilaksanakan dalam pendidikan semata-mata bagi memastikan pendidikan yang diberi kepada anak bangsa itu benar-benar mengupayakan mereka mencapai prestasi yang tinggi dalam semua aspek mengikut keadaan semasa. Lantaran itu, saya berharap agar guru cemerlang dapat melakukan perubahan secara kreatif mengikut perubahan yang ada demi memastikan pengajaran dan pembelajaran terlaksana dengan berkesan dan sesuai dengan dimensi yang ada.

9. Bagi pihak Kementerian Pelajaran Malaysia sentiasa bersikap dinamik bagi memenuhi tuntutan daripada perubahan yang berlaku. Misalnya, kita telah mula melaksanakan assessment of learning bagi membolehkan potensi murid diketahui dan dikembangkan lagi. Kita juga telah menawarkan pelbagai mata pelajaran di sekolah bagi memastikan murid-murid dapat menguasai pelbagai ilmu pengetahuan dan kemahiran. Terkini kita akan melaksanakan dasar baru, iaitu Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) serta Laterasi dan Numerasi.
10. Penawaran pelbagai jenis mata pelajaran dalam bidang teknikal dan vokesional serta mata pelajaran meliputi pelbagai bahasa di sekolah harian semata-mata untuk membolehkan murid atau generasi yang dilahirkan nanti mempunyai kesesuaian dengan cara hidup pada zaman mereka. Dasar MBMMBI pula mesti dilaksanakan dengan sebaik mungkin di sekolah kerana kita percaya dengan satu bahasa kebangsaan, guru, khususnya cemerlang dapat memainkan peranan membantu kerajaan membina perpaduan dalam kalangan murid. Kita turut percaya penguasaan bahasa Inggeris amat penting kepada anak bangsa. Justeru usaha memperkasa bahasa Inggeris terus dilaksanakan tanpa jemu bagi memastikan modal insan yang dilahirkan nanti berupaya menggalas tanggungjawab yang diamanahkan oleh negara di peringkat antarabangsa. Dengan ini, saya mengalu-alukan idea dan usaha yang kreatif serta inovatif daripada guru cemerlang dalam memastikan dasar-dasar itu terlaksana dengan jaya.

11. Kerajaan mensasarkan semua murid normal akan dapat menguasai kemahiran membaca dan mengira pada tahun 2012 menerusi dasar Laterasi dan Numerasi. Kerajaan yakin dan percaya dengan penguasaan dua kemahiran ini, murid kita dapat meneroka dan mengembangkan ilmu pengetahuan seluas-luasnya dan merangkumi pelbagai bidang. Ini tentu akan memberikan impak yang amat positif kepada bangsa dan negara. Oleh hal demikian, saya mengharapkan guru cemerlang dapat berusaha dengan bersungguh-sungguh serta membimibing rakan-rakan di sekolah melaksanakan dasar ini dengan efektif. Kejayaan dasar laterasi dan numerasi ini menggambarkan bahawa kita bersikap adil dan amanah kepada murid yang akan menjadi pewaris kepada kita semua.

Tuan-Tuan dan puan-puan sekalian,

12. Apabila kita bercakap tentang pendidikan yang berkualiti dan berkesan, kita tidak dapat lari daripada penggunaan teknologi maklumat komputer atau ICT. Justeru Kementerian Pelajaran Malaysia telah membekalkan makmal komputer dan pusat akses di sekolah. Oleh hal demikian, pengajaran dan pembelajaran di sekolah mesti berteraskan ICT kerana menerusi ICT murid dapat memperolehi akses ilmu pengetahuan dengan mudah dan lebih luas lagi. Di sini, guru cemerlang mesti menjuarai pengajaran dan pembelajaran berteraskan ICT di sekolah masing-masing. Penggunaan ICT ini bukan hanya membantu guru cemerlang memberikan pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti tetapi tentu sekali ini melonjakkan martabat guru cemerlang sekalian. Oleh itu, saya berharap guru cemerlang mempunyai emel, laman web, blog, facebook, twitter dan lain-lain bagi membolehkan murid dari pelbagai latar belakang dan lokasi dapat berkomunikasi dengan guru secara lebih mudah. Keadaan ini bertepatan dengan hasrat guru cemerlang untuk memberikan pengajaran dan pembelajaran yang terbaik kepada semua murid seperti disebutkan dalam tema persidangan pada kali ini, iaitu “Pengajaran dan Pembelajaran Berkesan Merealisasikan Gagasan 1Malaysia”.
13. Hari ini guru cemerlang semestinya mempunyai satu indikator bagi setiap usaha atau tindakan. Indikator itu menjadi kayu ukur dalam menilai kecekapan dan daya usaha masing-masing. Dengan ini, saya mengharapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dalam kalangan guru cemerlang dapat dijadikan suatu instrument dalam mengukur kualiti dan keberkesanan peranan masing-masing. Bagaimanapun, guru cemerlang tidak boleh berhenti setakat KPI. Sebaliknya, guru cemerlang mesti berani menilai keberhasilan daripada usaha dan tindakan masing-masing. Sudah tentu guru cemerlang sendiri mengharapkan setiap usaha dan tindakan yang dilaksanakan itu memberikan impak kepada kumpulan sasar, iaitu murid. Kejayaan murid itu adalah kejayaan guru sekalian. Malah memang diakui tidak ada yang lebih berharga kepada seorang yang bergelar guru melainkan melihat murid berjaya atas jerih perih guru mendidik dan mencurah ilmu pengetahuan.

14. KPI dan keberhasilan yang disebutkan tadi merupakan antara perkara penting yang ditekankan oleh Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib b. Tun Abdul Razak Perdana Menteri Malaysia pada 27 Julai 2009 lalu. Keberhasilan dalam bidang pendidikan yang ditegaskan oleh Perdana Menteri ialah meluaskan akses pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Ini kerana pendidikan atau ilmu menjadi prasyarat dalam pembinaan mana-mana tamadun manusia. Lantaran itu, guru cemerlang sebagai sebahagian daripada pelaksanan dasar pendidikan mesti peka dan proaktif dengan perkembangan ini. Peranan guru cemerlang semakin besar dalam memastikan murid berilmu, berfikiran kritis, berinovatif, bercirikan nilai murni dan mampu bersaing di peringkat antarabangsa menerusi kemudahan yang telah diberikan. Saya percaya semua cabaran dan harapan ini dapat digalas oleh guru cemerlang dengan efektif sekiranya guru cemerlang mampu melakukan usaha satu lonjakan berganda.

15. Harapan kerajaan dan Kementerian Pelajaran Malaysia sungguh tinggi kepada pihak sekolah dan guru. Bagaimanapun, harapan besar ini diikuti dengan tawaran menarik daripada pihak kerajaan. Misalnya, kerajaan bersedia memberikan new-deal atau satu bai’ah baru kepada pihak sekolah. Pihak sekolah yang berjaya menunjukkan pencapaian seperti dalam bai’ah akan diberikan ganjaran. Untuk membantu menyediakan persekitaran pengajaran dan pembelajaran yang kondusif, kerajaan bersedia mengangkat sekolah-sekolah sebagai Sekolah Berprestasi Tinggi. Sekolah Berprestasi Tinggi akan memperlihatkan kemudahan pengajaran dan pembelajaran lengkap dan terkini , di samping kerjasama dengan sector awam dan swasta. Semua ini bagi memastikan pihak sekolah dan guru dapat melahirkan murid berprestasi tinggi dan holistik. Di sini, peranan dan komitmen guru cemerlang amat dituntut kerana kepakaran yang guru cemerlang ada mampu membantu pihak pengurus sekolah melaksanakan harapan suci ini.




Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang saya hormati,

16. Pada kesempatan ini, saya mengambil peluang merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada jawatankuasa persidangan atas kejayaan menganjurkan Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang Kali Ke-7 2009 ini. Saya juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan sokongan padu dalam memastikan persidangan ini dapat berjalan dengan lancar. Setinggi-tinggi tahniah juga kepada semua pembentang kertas kerja yang telah sudi berkongsi ilmu pengetahuan dan inovasi dalam persidangan pada kali ini. Tidak saya lupakan juga rakaman penghargaan dan ucapan terima kasih saya kepada pihak media yang turut serta dalam memberikan liputan untuk persidangan ini.

17. Akhir kata, dengan kalimah yang mulia, Bismillahirahmanirahim, saya tutup Persidangan Kebangsaan Guru Cemerlang Kali Ke-7 2009 ini dengan rasminya.

Sekian.


Teks Ucapan ini hanya sekadar contoh untuk tujuan perbengkelan sahaja dan tidak semestinya teks ucapan yang dibaca dalam majlis tersebut.

No comments: